‘Uncle Sri’ Dirindui Warga UPM, Bersara Selepas 37 Tahun Berkhidmat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » ‘Uncle Sri’ dirindui warga UPM, bersara selepas 37 tahun berkhidmat

‘Uncle Sri’ dirindui warga UPM, bersara selepas 37 tahun berkhidmat

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

SERDANG, 19 Mei - Lambaian mesra ‘Uncle Sri’ yang saban hari menyambut warga kampus di pintu utama Universiti Putra Malaysia (UPM) kini hanya tinggal kenangan apabila anggota Polis Bantuan UPM, Sri Kantha Rao a/l Sani Babu, bersara selepas 37 tahun menabur bakti di ‘Menara Ilmu’ ini.

 

Mesra disapa sebagai ‘Uncle Sri’ dalam kalangan staf dan pelajar, beliau memilih untuk bersara pada 1 Mei 2026 bagi memberi tumpuan kepada kesihatan serta meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

 

Menurut beliau, persaraan itu pastinya mengundang rasa rindu kerana UPM sudah sebati dalam kehidupannya sejak hampir empat dekad lalu.

 

“Mana tak rindu saya dah kenal ramai orang di kampus ini. Setiap hari jumpa staf dan pelajar yang sentiasa menegur saya di pintu utama dengan panggilan ‘Uncle Sri, Uncle Sri’. Itu kenangan yang saya tak boleh lupa,” katanya.

 

Sepanjang bertugas di pondok pengawal, beliau bukan sahaja dikenali sebagai pengawal keselamatan yang dedikasi, malah turut disenangi kerana sifatnya yang mudah membantu sesiapa sahaja tanpa mengira tugas hakiki.

 

‘Uncle Sri’ berkata, sikap saling menegur dan membantu antara satu sama lain perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian.

 

“Kita kena saling tegur-menegur. Kalau kita diam, kita tak akan kenal orang baharu. Kalau boleh bantu orang bantu sahaja tanpa perlu disuruh. Bila pelajar atau staf ada masalah kita cuba bantu terus pastinya mereka akan hargai usaha kita,” katanya

 

Antara pengalaman paling bermakna buat beliau ialah membantu pelajar membaca dan memahami tesis dalam Bahasa Inggeris walaupun perkara itu bukan sebahagian daripada tugas rasminya.

 

“Kadang-kadang saya baca berjam-jam untuk fahamkan tesis mereka. Walaupun bantuan kecil saya gembira kerana dapat bantu pelajar siapkan tugasan dan berjaya dalam pengajian,” katanya.

 

Sepanjang berkhidmat, Uncle Sri turut menyaksikan pelbagai perubahan landskap UPM daripada sebuah kawasan yang dipenuhi sawah dan ladang kepada kampus moden hari ini.

 

“Dulu kawasan parkir utama adalah padang bola. Kawasan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pula Adalah kawasan sawah. Sekarang semuanya sudah berubah, termasuk kolej kediaman dan kawasan sekitar Kolej Pendeta Zaaba,” katanya.

 

Selepas bersara, beliau kini mengisi masa dengan aktiviti berkebun, mengemas rumah, mengecat semula kediaman serta meneruskan rutin senaman harian.

 

“Saya bangun seawal jam 5 pagi dan pukul 6 pagi saya sudah mula kayuh basikal di rumah. Waktu petang pula saya mengambil masa untuk bersenam selama sejam,” katanya.

 

Selain itu, beliau juga merancang untuk melancong ke luar negara pada tahun hadapan bersama keluarga.

 

Terdahulu, dedikasi dan komitmen beliau pernah mendapat pengiktirafan apabila menerima Penghargaan Khas Kualiti Perkhidmatan Pelanggan sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) pada tahun 2018.

Tarikh Input: 20/05/2026 | Kemaskini: 20/05/2026 | eszereen

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
W, (07:05:23pm-07:10:23pm, 20 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]