Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ Masjid UPM Dirasmikan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ Masjid UPM dirasmikan

Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ Masjid UPM dirasmikan

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Masjid UPM   

SERDANG, 25 Mac: Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ Masjid UPM bertujuan mempermudah dan melancarkan pergerakan ahli-ahli Darussyifa’ warga UPM dan masyarakat sekitar dalam menangani masalah dan gangguan kerohanian yang berlaku di kawasan sekitar.

PRK Darussyifa’ Masjid UPM bertempat di Masjid UPM. Sesi rawatan adalah pada setiap Selasa dari jam 9 malam hingga 11 malam.

Ia dirasmikan Naib Canselor UPM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman. Turut hadir Pengerusi Darussyifa’, Haji Abdul Rahman Ahmad; Timbalan Pengerusi Darussyifa’, Haji Abdul Rahman Nawas; Ketua Pusat Kesihatan Universiti, Dr. Fauziah Adnan; dan Pengerusi PRK Masjid UPM, Mohd Husni Harmin.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan ketika berucap berkata, penubuhan PRK Darussyifa’ Masjid UPM adalah dengan justifikasi, antaranya bagi memudahkan pelajar, staf dan masyarakat setempat mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang tepat mengikut kaedah syara’ yang betul.

Katanya, ia juga bagi membina jaringan dakwah Islam melalui pengembangan ilmu pengubatan Islam, menghidupkan majlis zikir mengikut kaedah dan amalan Darussyifa’, serta menghimpunkan semula semua ahli Darussyifa’ warga UPM dan masyarakat setempat serta mengeratkan hubungan untuk memastikan amalan ilmu rawatan Islam dipraktikkan.

“Ini merupakan ikhtiar dan usaha kita bersama-sama bagi mendambakan kehidupan yang tenang, aman dan bebas daripada segala gangguan.

“UPM menyokong usaha yang dilaksanakan PRK Darussyifa’ Masjid UPM bagi meningkatkan kesejahteraan warga UPM sebuah menara ilmu yang mengharapkan kesejahteraan warganya sentiasa diberikan keutamaan untuk mengecapi kejayaan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata, rawatan secara Islam adalah merupakan fardhu kifayah sebagai menunaikan keperluan orang yang sakit dan menghidap penyakit yang mahukan kesembuhan dan sihat tubuh badan

Walaupun sebelum ini tidak mempunyai premis yang tetap untuk beroperasi, katanya, ahli-ahli Darussyifa’ warga UPM banyak memberikan khidmat sukarelawan menerusi gerak kerja melakukan rawatan premis dan kes kecemasan yang dihadapi pesakit dalam kalangan staf dan pelajar. - UPM

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMEKAY:10:42