Pro Canselor UPM Terima Anugerah MSAE 2023 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pro Canselor UPM terima Anugerah MSAE 2023

Pro Canselor UPM terima Anugerah MSAE 2023

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Saleha Haron  

PORT DICKSON, 9 Mac - Pro Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Muhamad Zohadie Bardaie menerima Anugerah Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) 2023 kategori Anugerah Profesional Terbilang di Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2023. 

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Tuan Chan Foong Hin.

Anugerah yang buat julung kalinya diperkenalkan bagi menghargai penglibatan serta sumbangan individu dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Muhamad Zohadie berkata, bidang kejuruteraan pertanian adalah penting sejajar dengan isu keterjaminan makanan masa kini serta pelbagai teknologi baharu yang boleh digunakan untuk menjadikan sektor pertanian moden sejajar dengan keperluan industri masa kini. 

“Pada masa ini sektor pertanian perlu mengambil peluang menggunakan teknologi baharu antaranya dron, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya untuk menjadikan pengurusan pertanian menjadi mudah serta diminati ramai,” katanya.

Sebelum itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Muhamad Zohadie merupakan Presiden MSAE yang pertama dan juga adalah Naib Canselor UPM Keempat.

Sementara itu, MSAE turut memperkenalkan Anugerah Tesis Terbaik MSAE Tahun 2022 untuk memberi pengiktirafan kepada graduan Bacelor, Master dan PhD yang telah memperkasakan kajian dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan pertanian atau makanan.

Anugerah Tesis Terbaik MSAE 2022 kategori Bacelor dimenangi oleh Wan Muhamad Baqir Mahdi dengan tajuk tesis “Automatic Paulownia Tree Counting Using Images Taken From The UAV And Template Matching Technique”.

Bagi kategori Master dimenangi oleh Puteri Nurain Megat Ahmad Azman dan kategori PhD dimenangi oleh Dr. Maimunah Mohd Ali.  - UPM

Tarikh Input: 09/03/2023 | Kemaskini: 09/03/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMDAAl:00:34