Komitmen Kewangan Terhadap SDG Dan Inisiatif Hijau | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Komitmen Kewangan Terhadap SDG dan Inisiatif Hijau

Komitmen Kewangan Terhadap SDG dan Inisiatif Hijau

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari   
Foto: Noor Azreen Awang  

SERDANG, 17 Nov - Pembangunan mampan menjadi nadi kepada pendekatan pembangunan Malaysia, dengan memberi keutamaan dalam pembasmian kemiskinan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyediakan akses universal kepada pendidikan, dan menjaga alam sekitar.

Pengarah Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Che Kodir Baharum berkata merujuk kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) (2021-2025), telah menetapkan hala tuju untuk mencapai pertumbuhan hijau dan pembangunan Keluarga Malaysia.

“EPU dan MOF menyelaraskan perbelanjaan pembangunan SDG kepada mana-mana program yang dijalankan oleh mana-mana pihak yang menyokong pelaksanaan dan pencapaian SDG di Malaysia.

“Sebagai contoh, pada tahun ini sahaja, RM385.3b diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, pembangunan dan bantuan COVID-19 agar kehidupan rakyat Malaysia lebih mampan dan sejahtera memandangkan Malaysia komited untuk memulihara kesihatan bersama,” katanya.

Tambahnya lagi, memajukan pertumbuhan hijau adalah penting untuk mencapai kemakmuran bersama, bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.

SDG dalam RMK-12 mempunyai perinciannya yang tersendiri iaitu menetapkan semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan keterangkuman, memajukan kelestarian, membangunkan bakat masa depan, teknologi mempercepat penerimaan dan inovasi, meningkatkan hubungan infrastruktur pengangkutan dan memperkukuh perkhidmatan awam.-UPM

Tarikh Input: 21/11/2022 | Kemaskini: 21/11/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMCWAv:22:22