
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 6 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan perhubungan perusahaan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan khidmat kepakaran.
Kerjasama itu memfokuskan kepada pembangunan program pendidikan dan latihan profesional, khidmat perundingan penyelesaian konflik organisasi, pembangunan Pusat Kecemerlangan Perhubungan Perusahaan serta penyelidikan dan penerbitan bersama yang dapat menyumbang kepada pembentukan dasar serta amalan terbaik dalam bidang tersebut.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, berkata pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen bersama antara institusi akademia dan agensi kerajaan dalam menghadapi cabaran landskap perhubungan perusahaan yang semakin dinamik.
“Majlis ini bukan sekadar satu acara simbolik tetapi manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh sinergi antara dunia akademia dan agensi kerajaan demi kepentingan negara,” katanya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon, berkata kerjasama tersebut mampu memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan keberkesanan pengurusan isu perhubungan perusahaan di negara ini.
“Gabungan kepakaran akademik dan pengalaman praktikal akan membantu organisasi mengurus isu perhubungan perusahaan secara lebih sistematik, adil dan berkesan,” katanya.
Selain itu, sebagai sebuah universiti penyelidikan, UPM berpaksikan kerangka True North UPM yang menekankan kecemerlangan berimpak, pemerkasaan bakat serta jaringan kolaborasi strategik yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, berkata kerjasama itu membuka ruang kepada pembangunan pusat rujukan yang berpotensi menjadi hab kecemerlangan dalam bidang perhubungan perusahaan di Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, kita berhasrat membangunkan Pusat Kecemerlangan Perhubungan Perusahaan yang dapat menjadi hab rujukan, penyelidikan dan latihan di peringkat nasional,” katanya.
Date of Input: 09/03/2026 | Updated: 09/03/2026 | eszereen

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA