Program Celik Zakat Dan Wakaf Pupuk Budaya Menyumbang Dalam Kalangan Mahasiswa | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Program Celik Zakat dan Wakaf pupuk budaya menyumbang dalam kalangan mahasiswa

Program Celik Zakat dan Wakaf pupuk budaya menyumbang dalam kalangan mahasiswa

 

 

Oleh: Aimi Mohamad Farid

 

 

SERDANG, 22 Mei - Pusat Pengurusan Wakaf Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menganjurkan program Celik Zakat dan Wakaf 2026 bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai kepentingan amalan zakat dan wakaf.

 

 

Program yang diadakan bersempena UPM Career & Futurpreneur Fair (CFF) 2026 di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM itu bertujuan memupuk kesedaran serta membudayakan amalan menyumbang dalam kalangan pelajar sejak usia muda.

 

 

Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan berkata program tersebut menjadi platform kepada pelajar untuk memahami serta merasai sendiri pengalaman menunaikan zakat dan wakaf.

 

 

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kewajiban berzakat dan amalan wakaf yang sangat dituntut dalam Islam.

 

 

“Selama ini pelajar lebih banyak menjadi penerima bantuan zakat dan wakaf, namun melalui program ini mereka diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menyumbang dan menunaikan ibadah tersebut,” katanya.

 

 

Melalui program tersebut, pelajar turut diperkenalkan dengan inisiatif Start With Sepuluh (SWS+) yang menggalakkan pembayaran zakat bermula serendah RM10 selain memberi pendedahan mengenai rebat cukai 100 peratus bagi zakat individu yang ditunaikan.

 

 

Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan konsep wakaf ilmu melalui sumbangan serendah RM1 bagi menyokong pembangunan pendidikan serta memupuk budaya menyumbang dalam kalangan warga UPM.

 

 

Terdahulu, sesi taklimat berkaitan zakat dan wakaf telah disampaikan oleh Eksekutif Kanan Jabatan Perunding Zakat, Divisyen Kutipan LZS, Mohamad Shakor Sulaiman dan Pengurus Bahagian Korporat PWS, Muhammad Hafiz Bahari.

 

 

Taklimat tersebut memberi penerangan kepada pelajar mengenai kepentingan zakat dan wakaf serta peranan kedua-dua institusi dalam membantu masyarakat dan memperkukuh pembangunan ummah.

 

 

Menurut WAZAN UPM, program Celik Zakat dan Wakaf ini akan diperluaskan menerusi siri jelajah ke seluruh kampus bagi memberi lebih banyak pendedahan dan pengalaman berkaitan zakat dan wakaf kepada mahasiswa UPM.

 

 

Penganjuran Program Celik Zakat dan Wakaf 2026 diharap dapat melahirkan generasi mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan membudayakan amalan menyumbang dalam kehidupan seharian.

Date of Input: 22/05/2026 | Updated: 22/05/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
W, (02:06:36pm-02:11:36pm, 24 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]