UPM, Songkhla Rajabhat University Jalin Kerjasama Strategik Pembangunan Pengajian Pelajar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM, Songkhla Rajabhat University jalin kerjasama strategik pembangunan pengajian pelajar

UPM, Songkhla Rajabhat University jalin kerjasama strategik pembangunan pengajian pelajar

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin 

SERDANG, 31 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) jalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Songkhla Rajabhat University (SKRU) dalam mengukuhkan strategik pembangunan pengajian pelajar. 

Kerjasama dengan SKRU secara berterusan dalam penyelidikan, inovasi serta pencarian ilmu, mampu membentuk masa depan dan memberi kesan positif kepada kehidupan individu dan komuniti.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Dean College of Innovation and Management, SKRU, Dr. Mumtas Meraman.             

Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, Prof. Dr. Hazandy Abdul Hamid berkata,  program komuniti dapat membentuk satu landasan hubungan siswa dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan komuniti yang terlibat.

“Kerjasama yang dijalinkan ini mampu melahirkan golongan mahasiswa yang dinamik serta berkebolehan dalam mengurus kepelbagaian serta berkhidmat kepada masyarakat.

“Penglibatan pelajar dalam program kesukarelawan seperti ini akan menjadi nilai tambah kepada para graduan kita serta merupakan ruang dan peluang yang harus dimanfaatkan oleh pelajar UPM,” katanya.

Objektif utama pemeteraian MoU ini adalah sebagai satu sinergi dalam usaha mengorak langkah lebih jauh ke arah visi bersama di mana pendidikan tidak mengenal sempadan dan kecemerlangan tidak mengenal had.

Selari dengan Matlamat Satu dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu untuk melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang dengan memperkukuh jati diri, perpaduan dan semangat patriotisme.

Kerjasama strategik ini juga bagi mencapai matlamat penyatuan dua negara bagi merancakkan lagi dunia akademia dengan pelbagai aktiviti yang memacu kecemerlangan akademik dan kemajuan kepada masyarakat.

Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi mengukuhkan kerjasama strategik ini antaranya melalui program mobiliti pelajar, kakitangan fakulti dan penyelidik untuk memupuk pemahaman budaya dan mempromosikan kepelbagaian akademik.

Tarikh Input: 01/06/2023 | Kemaskini: 01/06/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
WWMBBAv:01:00