Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
KOTA TINGGI, 9 Sept – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial UPM bagi membantu meningkatkan pengetahuan pertanian dan penternakan komuniti di Kota Tinggi bersama pakar UPM.
Penganjuran program itu ini merupakan kolaborasi strategik bersama Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur, Jabatan Pertanian Johor, KEJORA, Pejabat Parlimen Kota Tinggi, Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kota Tinggi.
Program selama dua hari ini turut mengadakan Klinik Pertanian Putra Zon Selatan bersama komuniti.
UCTC UPM memfokuskan lima projek teras iaitu teknologi penanaman halia bentong, teknologi pengeluaran sayuran bernilai tinggi dan organik, ternakan ayam kampung, teknologi biji benih dan bahan tanaman, serta pemprofilan usahawan tani di Kota Tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peranan universiti hari ini bukan sekadar mendidik mahasiswa di kampus malah warga universiti perlu menyumbang bakti kepada masyarakat.
“Sumbangan bakti ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti agar masyarakat turut merasai kebersamaan dalam pembangunan pendidikan yang dapat dimanfaatkan serta diaplikasikan dalam kehidupan harian masyarakat setempat,” katanya.
Dato’ Seri Mohamed Khaled turut melancarkan produk inovasi UPM iaitu Vaksin STVac7 semburan intrasanal untuk kambing dan biri-biri bagi mencegah penyakit yang menyerang paru-paru atau pneumonia kepada haiwan ternakan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, UPM selaku universiti yang mendokong ilmu pengetahuan, teknologi dan penyelidikan berteraskan pertanian sentiasa memastikan hasil penyelidikan dapat memberikan impak kepada komuniti.
“UPM kini rancak memasyarakatkan kepakaran UPM melalui pemindahan ilmu kepada masyarakat yang juga sebahagian daripada usaha menjayakan tanggungjawab sosial universiti,” katanya.
Sementara itu, melalui program itu membantu meningkatkan pengetahuan meningkatkan taraf pendidikan dan kualiti hidup masyarakat di Kota Tinggi dan akan menjadi salah satu stesen pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan untuk melestarikan usaha ini.
Tarikh Input: 11/09/2023 | Kemaskini: 11/09/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA