SERDANG, 30 Okt – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) telah menerajui penyediaan Pendigitalan Hands-On Book (e-HoB) sebagai produk inovasi untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Program Pemulihan Khas.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, pengetahuan dan kepakaran berkaitan ilmu digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) perlu diterokai oleh masyarakat, khususnya golongan pendidik agar dapat memanfaatkan penggunaannya dalam kehidupan.
“Globalisasi yang telah mengubah cara hidup manusia kini telah menuntut kita untuk mengasah kemahiran menggunakan teknologi digital sebagai satu transformasi dalam bidang-bidang tertentu, dan ini termasuklah bidang pendidikan bagi pelaksanaan PdP yang berkesan untuk menggalakkan proses pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Sementara itu, usahasama UPM dan JPWPKL dalam penyediaan e-HoB yang telah bermula sejak tahun 2021 merupakan hasil daripada perlaksanaan beberapa siri bengkel yang telah dijalankan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, FPP, UPM, Dr. Nurzatulshima Kamarudin sebagai pakar Pendidikan Sains bersama Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, FPP, UPM, Dr. Marzni Mohamed Mokhtar sebagai pakar bahasa dan kaedah serta prinsip pengajaran berteknologi.
Penyediaan e-HoB ini turut melibatkan keseluruhan guru sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu dari kategori prasekolah, rendah dan menengah.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail turut menyempurnakan pelancaran e-HoB dalam Persidangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang telah berlangsung pada 25 dan 26 Oktober yang lalu.
Turut hadir, Dekan FPP, UPM, Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Dekan Fakulti Kejuruteraan, UPM, Dr. Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin, Timbalan Pengarah JPWPKL, Abdul Aziz Md Hashim, serta pegawai-pegawai JPWPKL dan PPD WPKL.
Tarikh Input: 30/10/2023 | Kemaskini: 30/10/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA