UPM Jalin Kerjasama JLN, MBI Dalam Projek Kemampanan Kelestarian Hijau | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM jalin kerjasama JLN, MBI dalam projek kemampanan kelestarian hijau

UPM jalin kerjasama JLN, MBI dalam projek kemampanan kelestarian hijau

Oleh: Noor Eszereen Juferi

IPOH, 11 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam menjayakan projek kemampanan kelestarian hijau.

Ketua Projek bagi penyelidikan hutan bandar di Bandaraya Ipoh, Dr. Mohamad Nazrin Abd Malik berkata inisiatif taman hutan bandar ini menggunakan kaedah Miyawaki yang sebelum ini diaplikasikan di UPM Kampus Bintulu (UPMKB) pada tahun 1991.

“Kaedah penanaman Miyawaki adalah kaedah penanaman hutan yang berasaskan kepada teori hutan semulajadi yang padat dan berbilang lapisan serta mempunyai keupayaan yang tinggi untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dalam membantu pemuliharaan alam sekitar.

“Kaedah ini dinamakan sempena ahli biologi terkenal dari Jepun, Prof. Dr. Akira Miyawaki, yang mengembangkan kaedah ini pada tahun 1970-an,” katanya.

Tambah beliau, persekitaran bandar dilihat sebagai kawasan yang melepaskan gas karbon dioksida dengan kadar yang tinggi yang mengakibatkan pemanasan global dan perubahan iklim,inisiatif  penanaman pokok hutan di kawasan bandar dilihat sebagai salah satu inisiatif mitigasi perubahan iklim.

“Secara semula jadinya pokok hutan dapat membantu keadaan pengudaraan bandar menjadi lebih sihat.

“Kepadatan kayu (wood density) pokok hutan yang tinggi mampu  menyerap lebih banyak karbon  dilihat satu inisiatif yang baik untuk penyerapan gas karbon yang dapat membantu alam sekitar serta masyarakat setempat,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM berkata, dengan penanaman pokok hutan di bandar secara langsung dapat menghasilkan udara yang bersih kepada komuniti setempat

“Melalui kaedah ini anggaran dalam jangkamasa 15 hingga 20 tahun, ia dapat menghasilkan hutan yang padat dengan spesies pokok hutan tropika, ia juga dapat memberi keseimbangan kepada ekosistem serta membantu mengelakkan kepupusan spesis pokok hutan,” katanya.

Sementara itu, penanaman pokok itu mengguna kaedah yang ditemukan oleh Prof. Dr. Miyawaki dari Yokohama National University (YNU) dan pensyarah UPM iaitu, Dato’ Dr. Nik Mohamad Nik Ab Majid dan Prof. Madya Dr Azani Alias.

Sehingga kini di UPMKB, sebanyak 350,000 pokok hutan dari 128 spesis telah ditanam di Kampus Bintulu seluas 47 hektar.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lanskap Negara 2023 (HLN 2023) peringkat kebangsaan di Amphitheater Laman Sejahtera, Taman D.R. Seenivasagam yang telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. - UPM

Tarikh Input: 23/03/2023 | Kemaskini: 27/03/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SXFZEAn~