UPM Dekati Komuniti Pantai Morib Beri Kesedaran Bahaya Mikroplastik Dan Nanoplastik Pada Hidupan Marin | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM dekati komuniti Pantai Morib beri kesedaran bahaya mikroplastik dan nanoplastik pada hidupan marin

UPM dekati komuniti Pantai Morib beri kesedaran bahaya mikroplastik dan nanoplastik pada hidupan marin

Oleh: Prof. Madya Dr. Yusran Sulaiman

Ahli KMK FS UPM merakam gambar bersama penasihat program dan wakil MPKL (tiga dari kiri) ketika melaksanakan program WPWS di Pantai Morib baru-baru ini. 

 

BANTING, 8 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kelab Mahasiswa Kimia (KMK), Jabatan Kimia, Fakulti Sains (FS) telah menganjurkan program kesedaran mengurangkan penggunaan bahan plastik yang menyumbang kepada penghasilan mikroplastik dan nanoplastik buat pengunjung di Pantai Morib, baru-baru ini.

Penasihat program, Prof. Madya Dr. Yusran Sulaiman berkata program ‘We Protect We Survive (WPWS)’ ini memberi pendidikan kepada komuniti di Pantai Morib bahawa pencemaran mikroplastik dan nanoplastik menjadi ancaman yang memberi mudarat kepada hidupan laut serta manusia.

Antara pengunjung cilik yang menyertai aktiviti interaktif ketika program WPWS.

 

“Program dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) ini juga secara tidak langsung mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga ekosistem marin seperti sasaran Matlamat Pembangunan Mampan 14 (SDGs) demi pembangunan mampan.

“Beberapa aktiviti interaksi seperti permainan mencari mikroplastik dan kuiz mengenai mikroplastik dan nanoplastik telah dijalankan kepada pengunjung bagi mencapai objektif program ini,” katanya.

Selain itu, terdapat juga sesi penerangan risalah maklumat berkenaan pencemaran mikroplastik dan nanoplastik kepada para pengunjung di sekitar pantai.

“Melalui aktiviti ini, ia dapat memberikan impak kepada orang awam untuk menjaga kebersihan pantai dan cakna dengan kesan bahaya mikroplastik dan nanoplastik terhadap ekosistem,” katanya.

Pelajar mendekati pengunjung dengan memberikan risalah bagi menerangkan bahaya mikroplastik dan nanoplastik.

 

Tambahnya lagi, pelaksanaan program seperti ini juga bertujuan untuk mempertajam kemahiran kepimpinan pada 17 pelajar FS UPM dan mahasiswa dalam melaksanakan program.

Katanya, mahasiswa dapat membuka minda dan meningkatkan pelbagai kemahiran insaniah untuk diamalkan pada masa akan datang selain mendukung Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

Program ini turut mendapat kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Kesatuan Mahasiswa (KM) dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN). -UPM

Tarikh Input: 08/11/2023 | Kemaskini: 08/11/2023 | ezzatyazhari

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMEUAW:20:17