SERDANG, 1 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama 30 buah perpustakaan universiti ASEAN bincang masa depan pustakawan akademik dalam mesyuarat tahunan Libraries of Asean University (AUNILO) ke-18 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos bagi membincangkan amalan terbaik peranan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia UPM) melalui laporan inisiatif dan perkembangan perpustakaan.
UPM pada tahun ini terpilih sebagai tuan rumah mewakili Malaysia bagi membincangkan isu perkhidmatan kerjaya pustakawan akademik kekal relevan dengan cabaran maklumat digital dan media sosial.
Ketua Pustakawan, UPM, Mahbob Yusof berkata, AUNILO merupakan rangkaian tematik di bawah Asean University Network (AUN) yang menfokuskan pada “Co-Creating The Future of Libraries: Empowering Academic Librarian for Innovation and Impact”.
“Pustakawan akademik kini sedang berhadapan dengan pengambil alihan peranan daripada perkembangan teknologi yang telah membantu mewujudkan perkhidmatan penyampaian maklumat dengan lebih efektif dan efisien,” katanya.
Tambah beliau, kesan daripada itu, tahap kebergantungan masyarakat kepada pustakawan akademik dikatakan semakin berkurangan.
“Sebagai contoh, Google telah mencipta pelbagai aplikasi yang sehingga kini telah mengambil alih banyak tugas pustakawan serta aplikasi yang disediakan pada era teknologi ini telah menyediakan platform penerbitan ilmiah yang dirujuk bagi mengetahui kewujudan pelbagai prototaip teknologi dan perkhidmatan terbaharu dilancarkan terutama berkaitan dengan perpustakaan,” katanya.
Beliau berkata, profesion pustakawan akademik perlu diperkasakan kerana mempunyai peranan dan tanggungjawab tugasan adalah berat dalam mengurus maklumat demi mendokong cita-cita negara untuk menyebarkan maklumat serta membantu pendidikan sekaligus penyelidikan di negara ini.
“Para pustakawan sentiasa peka terhadap perkembangan maklumat dan sentiasa mempersiapkan diri dengan kedatangan teknologi canggih.
"Perpustakaan masa kini perlu mengambilkira “selera” dan mengupayakan inovasi di segenap sudut dalam perkhidmatannya. Sebuah perpustakaan perlu bersedia untuk mengubah persekitaran dan ruangnya bagi menggalakkan kunjungan pengguna perpustakaan."
"Konsep yang lebih santai dan menyeronokkan mampu meningkatkan lagi kepuasan pengguna dalam memanfaatkan perpustakaan,” katanya.
Mahbob berkata, perpustakaan bukan hanya sekadar satu tempat untuk “senyap”, tetapi perlu menyokong persekitaran yang memerlukan pengguna untuk berbincang dengan lebih aktif kepada pelajar dan pensyarah. Transformasi ini mampu membantu untuk terus kekal relevan, khusus dalam konteks “meremajakan perpustakaan”. - UPM
Tarikh Input: 02/08/2023 | Kemaskini: 02/08/2023 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA