Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Saleha Haron
NILAI, 18 Sept - Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Siri Jelajah Komuniti “Program Hands of Hopes” kepada 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, Nilai bagi memupuk minat dalam bidang sains.
Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar, UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, program dengan kerjasama Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM adalah seiring dengan fungsi universiti sebagai ‘Menara Ilmu’ dalam memberi sumbangan pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah menengah.
“Pentingnya penganjuran aktiviti ini adalah kita dapat turun padang bersama pakar-pakar UPM ke sekolah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar serta elemen motivasi supaya mereka faham peranan mereka dalam menuntut ilmu ke menara gading,” katanya.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum. SMK Nilai Impian, Nilai, Pu’at Mohd Haron berkata, program ini secara langsung dapat memupuk minat pelajar sekolah untuk lebih cenderung dan menyukai subjek sains.
“Ini merupakan pendedahan awal yang boleh menjadi panduan pelajar sekolah untuk mendapatkan infomarsi serta membuka minda pelajar untuk memilih jurusan sains di perinkat lebih tinggi nanti,” katanya.
Pelajar Tingkatan 1, SMK Nilai Impian, Nilai, Nurul Syaqirah Iman berkata, beliau gembira pihak UPM mengadakan program sebegini kerana secara langsung dapat memperoleh ilmu baharu dalam bidang sains.
“Saya berharap program ini akan diteruskan oleh pihak UPM kerana ianya memberi pemahaman asas bahawa bidang sains bukan sukar malah ianya menyeronokkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Antara program yang dijalankan iaitu sesi perkongsian bersama Pakar Saintis Polar UPM, Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad dan ‘Peranan Biokimia dalam Kehidupan’ oleh Prof. Madya Dr. Syahida Ahmad serta pelajar juga berpeluang untuk melakukan eksperimen sains menerusi slot pameran dan ujikaji sains yang disediakan oleh pihak FBSB UPM bersama mahasiswa UPM yang turut serta dalam program tersebut.
Dalam pada itu, program itu adalah lanjutan penglibatan Seksyen Perkhdmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar, UPM dalam Putra Bakti UPM, di mana akan diadakan satu siri jelajah komuniti bagi memberi peluang untuk mewujudkan kolaborasi dengan adanya penglibatan secara menyeluruh bersama pakar UPM.
Sebelum ini, Siri Jelajah Komuniti pelajar sekolah telah dijalankan pada tahun 2022 di Sekolah Kebangsaan Desa Cempaka, Nilai dan siri ketiga akan dijalankan pada 10 Oktober 2023 di Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Selangor.
Tarikh Input: 19/09/2023 | Kemaskini: 21/09/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA