UPM Anjur FESFIK 2023 Kali Ke-6, Galak Pelajar Berkarya Dalam Bidang Perfileman Dengan Manfaatkan TMK | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur FESFIK 2023 kali ke-6, galak pelajar berkarya dalam bidang perfileman dengan manfaatkan TMK

UPM anjur FESFIK 2023 kali ke-6, galak pelajar berkarya dalam bidang perfileman dengan manfaatkan TMK

Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Ajmal Hadi Has-Yun dan Nur Hana Damia  

SERDANG, 14 Okt – Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Festival Filem Pendek Interkolej (FESFIK) 2023 kali ke-enam untuk menggalakkan pelajar berkarya dalam bidang perfileman dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).

FESFIK 2023 mewajarkan penguasaan TMK dalam kalangan pelajar melalui kajian kendiri dan pengurusan maklumat yang berkesan, serta memberi peluang kepada pelajar untuk menzahirkan kreativiti dalam menyampaikan mesej bermanfaat kepada masyarakat menggunakan wadah perfileman.

Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman, UPM, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, bidang akademik merupakan tunjang kejayaan bagi pelajar, tetapi bukan bermaksud pelajar perlu jumudkan diri daripada mengembangkan bakat, personaliti dan kemahiran diri dalam pelbagai bidang lainnya.

“FESFIK 2023 telah membuka peluang kepada pelajar untuk beraspirasi luar dari dewan kuliah dengan meneroka minat dan mencungkil bakat dalam bidang kesenian, iaitu bidang perfileman.

“Program ini diharapkan mampu menyuntik semangat dalam diri pelajar untuk berdaya saing secara sihat demi mencapai kejayaan dengan menekankan nilai-nilai moral dan etika, dan seterusnya menghiasi perjalanan akademik masing-masing dengan minat, impian dan kreativiti,” katanya.

Dalam pada itu, Qamar Pendeta Production, Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), UPM, telah berjaya menempah nama sebagai Johan FESFIK 2023 apabila berjaya merangkul beberapa anugerah, antaranya Anugerah Suntingan Terbaik, Anugerah Penyampaian Mesej Terbaik dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, diikuti dengan Aramestika, Kolej Empat Belas, UPM sebagai Naib Johan dan Adiwangsa Production, KTAG, UPM sebagai Tempat Ketiga.

Wakil daripada Qamar Pendeta Production, KPZ, UPM, Rafissah Athirah Mohamad Fadzil berkata, kejuaraan KPZ dalam FESFIK 2023 setelah turut menjuarai pertandingan sorakan antara kolej semasa Minggu Perkasa Putra (MPP) yang lalu merupakan pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertai.

“Kami berharap FESFIK dan program-program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang serta mendapat sambutan yang meriah daripada pelajar UPM sendiri agar dapat memupuk kemahiran insaniah dalam diri pelajar, khususnya kemahiran kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan sebagai nilai tambah dalam mendepani cabaran mendatang,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Seri Serdang), Tuan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi selaku perasmi program, Pengetua KTAG, UPM, Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengarah MHSI Resources (Vertico), Muhammad Hafidz Shahril Izwan, dan Pengarah Urusan, People’s Brand Agency, Sam Bahren Ali serta artis jemputan, Najwa Latif, memeriahkan program.

Tarikh Input: 16/10/2023 | Kemaskini: 16/10/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
WWMBBAg:01:43