Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
KOTA TINGGI, 10 Sept - Program Klinik Pertanian Putra anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM telah memberi manfaat dalam memajukan pembangunan sektor pertanian kepada komuniti Kota Tinggi untuk menjana pendapatan ekonomi keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sedili, Muszaide Makmor berkata, melalui program itu ianya berupaya mempergiat industri berasaskan pertanian moden penting untuk kesinambungan sekuriti makanan negara serta berpotensi untuk menarik minat komuniti dalam bidang tersebut.
“Sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 pelbagai industri kreatif baharu yang boleh diterokai dalam melestarikan kemajuan bidang pertanian untuk masa hadapan dan usaha jaringan kerjasama bersama UPM berupaya menjana pelbagai peluang kepada komuniti di sini,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin berkata, komitmen ini melengkapkan peranan UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Masyarakat melalui pengembangan dan khidmat profesional pakar UPM bersama komuniti.
“Ini adalah sejajar dengan bidang tujahan utama universiti sebagai pusat kecemerlangan pertanian dalam menggalas kepercayaan dan matlamat negara dalam isu sekuriti makanan negara masa kini,” katanya.
Selain itu, program ini akan bekerjasama erat dengan pelbagai agensi setempat di Kota Tinggi antaranya Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur, Jabatan Pertanian, Kejora dan pelbagai agensi berkaitan yang akan dilibat sama dari masa ke semasa.
Sebelum ini, Siri Jelajah UPM ke komuniti menerusi program Hari Pakar dan Klinik Pertanian UPM ini telah bermula pada tahun 2007 di Batu Pahat dan program hari ini adalah siri yang ke-16. Program ini turut dilaksanakan di sekitar daerah negeri Johor antaranya Ledang, Pasir Gudang, Bukit Lintang-Kota Tinggi dan Mukim Rimba Terjun di Pontian.
Penduduk Taman Sri Saujana, Jamaluddin Salleh, 39 berkata program yang dilaksanakan oleh UPM memberi beliau ilmu baharu mengenai cara betul pemilihan tanah dan baja yang betul untuk aktiviti penanaman.
“Saya berharap UPM akan meneruskan Program Klinik Pertanian Putra di sini kerana ianya turut memberi perkongsian pengalaman kepada komuniti di sini mengenai kaedah penanaman pertanian tanpa cangkul yang mudah dikendalikan oleh individu,” katanya.
Tarikh Input: 11/09/2023 | Kemaskini: 11/09/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA