PKPK 2023 Bantu Komuniti Kategori B40 Jana Pendapatan Melalui Aktiviti Pertanian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » PKPK 2023 bantu komuniti kategori B40 jana pendapatan melalui aktiviti pertanian

PKPK 2023 bantu komuniti kategori B40 jana pendapatan melalui aktiviti pertanian

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Sabri Omar

SERDANG, 5 Ogos - Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan 2023 (PKPK 2023) anjuran Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu komuniti kategori B40 untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.

Naib Canselor, UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, ini adalah sejajar dengan hasrat universiti untuk mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara menerusi penglibatan universiti bersama komuniti.

“Pemindahan ilmu oleh pakar UPM dapat membantu komuniti kategori B40 untuk menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti pertanian serta membantu negara dalam meningkatkan sekuriti makanan di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau inisiatif penganjuran seminar itu secara langsung akan membantu sekuriti makanan negara dan mempertingkatkan lagi jaringan antara universiti dan komuniti untuk bertemu dalam satu platform untuk bertukar pengalaman dan ilmu.

“Ini adalah platform untuk UPM bersama komuniti bagi berkongsi ilmu serta merapatkan perhubungan dan juga kerjasama dalam bidang pertanian selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Matlamat 3 Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat,” katanya.

Sementara itu, PKPK 2023 berjaya cipta kejayaan dengan menerima sijil daripada pihak Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai First National Community Farming Conference.

Persidangan itu yang bertemakan “Komuniti Pertanian Madani Penggerak Jaminan Makanan” disertai 3,000 peserta melibatkan semua pihak di UPM iaitu ahli akademik, bukan akademik, pelajar pertanian, komuniti pertanian dan masyarakat.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Pendaftar UPM, Muhazam Mansor.

Pengerusi Rukun Tetangga Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kuala Lumpur, Latiff Abu Hassan berkata, penganjuran PKPK 2023 melibatkan seluruh komuniti kategori B40 yang menguruskan kebun-kebun komuniti bandar serta membantu dalam memasarkan hasil tanaman.

"Kami bertukar-bertukar pandangan serta memperoleh ilmu baharu untuk memasarkan hasil tanaman dari kebun komuniti lain dan ianya secara langsung memberi peluang untuk meluaskan jaringan pemasaran yang efektif,” katanya.

Tarikh Input: 07/08/2023 | Kemaskini: 07/08/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMDAAY:00:25