Penyelidik UPM Cadang Tanam Varieti Kelapa Hibrid Berhasil Tinggi Lebih Banyak Elak Import Dari Negara Jiran | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidik UPM cadang tanam varieti kelapa hibrid berhasil tinggi lebih banyak elak import dari negara jiran

Penyelidik UPM cadang tanam varieti kelapa hibrid berhasil tinggi lebih banyak elak import dari negara jiran

PUTRAJAYA, 24 Okt- Bagi mengatasi masalah kekurangan kelapa, penanaman kelapa menerusi projek keterjaminan berskala besar perlu ditingkatkan kerana pokok kelapa yang sedia ada usianya semakin tua dan hasilnya semakin berkurangan.

Penanaman varieti kelapa hibrid yang berkualiti perlu diusahakan di tanah-tanah terbiar untuk menggantikan pokok lama bagi meningkatkan hasil pengeluaran kelapa mentah dan ianya dapat mengurangkan import kelapa daripada negara Indonesia.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Asyraf Md Hatta berkata pengunaan varieti kelapa hibrid seperti Matag akan meningkatkan pengeluaran dan memberikan keuntungan kepada pengusaha.

“Penghasilan benih kelapa yang tulen dan berkualiti seperti Matag perlulah dipertingkatkan. Bagi meningkatkan hasil kelapa, kami sedang melakukan penyelidikan fenotip bagi mengenalpasti varieti yang dapat mengeluarkan hasil tinggi di ladang untuk digunakan di dalam program pembiakbakaan dengan menggunakan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) dan  sistem pintar buatan (artificial intelligence).

“Kami melakukan penyelidikan kepada tujuh varieti kelapa yang terdapat di Malaysia dengan melihat penghasilan buah kelapa, ketinggian pokok dan kelebaran daun kelapa untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi varieti kelapa menggunakan kombinasi pengumpulan data di lapangan, teknologi (aplikasi Android), dan data udara (UAV),” katanya pada 10Th Asian- Australasian Conference on Precision Agriculture (ACPA10).

 

Tambah beliau, penyelidikan ini dapat memberi manfaat kepada pembuat keputusan pertanian, petani, dan penyelidik kerana ia membantu mengenal pasti varieti kelapa yang berprestasi terbaik bagi kawasan geografi yang spesifik, yang mungkin membawa kepada pengurusan tanaman yang lebih baik dan penghasilan varieti kelapa hibrid baharu dengan hasil yang lebih tinggi.

Sementara itu, pelajar Master Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian UPM, Thayalan Arumugam mencadangkan penubuhan Lembaga Kelapa Malaysia untuk menggalakkan penanaman kelapa lebih meluas dan meningkatkan penghasilan lebih banyak varieti kelapa hibrid.

“Penubuhan Lembaga Kelapa Malaysia perlu dibentuk atau organisasi yang khusus untuk industri kelapa, yang dapat memberikan pembiayaan secara langsung kepada para petani dan juga mengawal penghasilkan kelapa di negara ini, “ujarnya.

Persidangan 10Th Asian-Australasian Conference on Precision Agriculture (ACPA10) telah dianjurkan oleh Fakulti Pertanian UPM bertemakan “Advancing Precision Agriculture for Enhanced Resource Sustainability” bertujuan menyediakan platform bagi penyelidik, industri, dan sarjana di seluruh dunia untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam bidang pertanian.

Tarikh Input: 27/10/2023 | Kemaskini: 27/10/2023 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMDAAc:00:35