Oleh: Noor Eszereen Juferi
![]() |
![]() |
SERDANG, 27 Julai – Pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Humaira Aidil Shah dan pelajar keluarga B40, Nur Aina Maisarah Salihin antara 750 pelajar yang mendaftar untuk program ASPer Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Humaira yang buta sebelah mata berkata, kekurangan beliau menjadi pemangkin semangat untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Saya bersyukur dipilih untuk melanjut pengajian di sini dan ini adalah satu langkah untuk saya mencapai cita-cita saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan veterinar di UPM,” katanya.
Bagi Nur Aina Maisarah melanjutkan pengajian di peringkat tinggi merupakan impian beliau dan ianya penting untuk melahirkan generasi muda yang berilmu.
“Kita perlu belajar ke peringkat tinggi bagi memperkukuhkan ilmu yang akan digunakan secara langsung apabila bekerja kelak serta keseimbangan kehidupan juga merupakan aspek penting pada masa kini,” katanya.
Selain itu, pelajar ASPer UPM, Aariz Athazaz berkata, beliau teruja akan bersama rakan-rakannya, Shafiq Danial Mohd Sharif dan Shiro Ooi Jia Bin ketika di Maktab Tentera Diraja (RMC) untuk melanjutkan pengajian di UPM.
“Kami memilih UPM kerana yakin dengan kualti pengajaran dan saya berharap saya bersama rakan-rakan saya akan berjaya dalam pengajian dan meneruskan impian untuk meneruskan pengajian ke peringkat Bacelor kelak,” katanya.
Seorang pelajar lagi, Vincent Kay Kim Seng Vincent berkata, beliau adalah atlet bola tampar peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berasa bersyukur mendapat peluang melanjutkan pengajian di UPM dan berharap dapat meneruskan minat dalam bidang sukan tersebut.
“UPM telah berjaya melahirkan graduan atlet peringkat antarabangsa dan oleh kerana saya meminati bidang sukan saya berharap akan meneruskan minat di kampus tanpa menjejaskan pengajian saya,” katanya.
Sementara itu, ASPer UPM telah ditubuhkan pada tahun 2005 dan menawarkan satu-satunya program peringkat pra universiti yang berasaskan pertanian di UPM Kampus Serdang.
Tarikh Input: 28/07/2023 | Kemaskini: 28/07/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA