Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee UPM Lancar Tuisyen RM 5 Kepada Pelajar Sekolah Rendah B40 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee UPM lancar tuisyen RM 5 kepada pelajar sekolah rendah B40

Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee UPM lancar tuisyen RM 5 kepada pelajar sekolah rendah B40

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Redzuan Md Anjazi


SERDANG, 19 Januari- Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan program Putra Tuisyen kepada pelajar sekolah rendah B40 yang berada di sekitar UPM dengan kos serendah RM5 bagi setiap sesi untuk meringankan beban keluarga sekitar UPM.

Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata, program ini dilaksanakan kepada pelajar sekolah rendah B40 bertujuan untuk meringankan beban masyarakat B40 dengan memberi peluang kepada mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen dengan kos yang rendah.

“Dengan itu ia dapat meringankan beban ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen bagi membantu mereka memahami mata pelajaran dengan lebih mendalam.

“UPM dapat membimbing sekolah angkat di sekitar Serdang, Sri Kembangan dan Bangi Untuk membantu pelajar sekolah rendah lebih mahir dalam sebuah subjek yang diajar, “ katanya.

Program tuisyen ini dijalankan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu di bilik bacaan, Blok A, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.

Beliau berkata, sekretariat kelab Putra Tuisyen melibatkan 12 orang pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee menjadi pengajar dan urus setia bagi membantu ibu bapa yang menghantar anak ke sini.

“Sambil mengajar, pelajar daripada UPM boleh mendapat pendapatan tambahan sebagai tenaga pengajar kepada pelajar sekolah rendah yang menghadiri tuisyen tersebut dalam sesebuah subjek yang mereka mahir.

“Di samping itu, mereka dapat meningkatkan kemahiran diri walaupun berasa letih kerana tenaga dan masa yang digunakan untuk diri mereka tetapi kelak mereka akan mengerti tindakan yang mereka ambil memberikan manfaat buat diri mereka sendiri untuk diterapkan pada masa depan,” katanya. -UPM

Tarikh Input: 19/01/2023 | Kemaskini: 19/01/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SXFZCAd~