Kehilangan Ibu Bapa, Berhenti Kerja Tidak Mematah Semangat Nur Hidayah Bergraduat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kehilangan ibu bapa, berhenti kerja tidak mematah semangat Nur Hidayah bergraduat

Kehilangan ibu bapa, berhenti kerja tidak mematah semangat Nur Hidayah bergraduat

 

SERDANG, 29 Nov – Kehilangan ibu bapa tidak mematahkan semangat graduan Master Pembangunan Sumber Manusia (MHRD), Pengajian Jarak Jauh (PJJ), Universiti Putra Malaysia (UPM) Nur Hidayah Md Nor, 36, untuk terus mengejar impian untuk bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UPM kali ke-47 Sidang 2 hari ini.

 

Nur Hidayah yang berasal dari Melaka turut menceritakan detik kehilangan ayahnya Md Nor Othman akibat kegagalan organ dalaman pada tahun 2020.

 

“Semasa arwah ayah meninggal dunia saya telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menjaga arwah ibu yang mempunyai sakit buah pinggang yang kronik dan menyambung pengajian saya ke peringkat Master.

 

“Sejujurnya pada mulanya saya tidak yakin untuk melakukan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu telah dikuatkuasa dan di saat saya tiada pekerjaan adakah saya mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung pengajian saya,” katanya.

 

Namun, Nur Hidayah bertawakal dan meneruskan cita-cita murninya itu. 

 

Kemudiannya, ketika beliau sedang menempuhi peperiksaan akhir pada semester ketiga, ibunya Rugayah Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada Februari 2023. 

 

“Walaupun ibu saya telah meninggal dunia tetapi saya bersyukur berpeluang menjaga arwah ibu hingga ke akhir hayat dan rakan-rakan sekelas serta pensyarah memberikan kata semangat pada saya untuk bangkit meneruskan pengajiannya hingga ke akhir semester,” katanya.

 

Beliau turut titipkan nasihat kepada anak muda untuk berbakti kepada ibu bapa serta menyambung pengajian ke peringkat tertinggi selagi boleh kerana ilmu adalah kunci kejayaan dalam kehidupan.

 

“Tidak kisah umur anda berapa selagi nyawa dikandung badan carilah ilmu ini bukan semata-mata kerana wang tetapi ianya sebagai perisai hidup yang pasti akan diperlukan di masa akan depan,” katanya. 

Tarikh Input: 29/11/2023 | Kemaskini: 29/11/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
WXCZMAi:12:02