Jurulatih Renang Terima Ijazah Master, Tekad Curah Ilmu Bantu Atlet | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Jurulatih renang terima Ijazah Master, tekad curah ilmu bantu atlet

Jurulatih renang terima Ijazah Master, tekad curah ilmu bantu atlet

Oleh: Azman Zakaria
Gambar oleh: Sekyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 24 Mac: Jurulatih atlet renang para negara, Victor Kung Chi Wai hari ini merakam detik gemilang apabila memperoleh Ijazah Master Psikologi Pendidikan, dan bertekad untuk mencurah ilmu daripada kejayaannya itu dalam membantu atlet renang para negara meningkatkan prestasi renang masing-masing.

“Fokus saya seterusnya adalah untuk mencurah ilmu kepada atlet renang… saya mahu menyampaikan ilmu yang saya pelajari kepada mereka dengan harapan perenang-perenang yang saya bimbing akan dapat meningkatkan lagi prestasi.

“Saya mahu mencurah bakti kepada sukan renang negara,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu, ketika ditemui selepas menerima Ijazah Master, pada Sesi 6, Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45, di sini hari ini.

Victor Kung, 27, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah pernah mewakili pasukan renang Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 dan menjadi jurulatih skuad renang para negara pada 2018.

Antara anak didiknya ialah Nur Syaiful Zulkifli yang meraih pingat gangsa 50m gaya bebas (S5) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London, dan layak ke Kejohahan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Katanya, tumpuannya kini ialah melatih empat perenang para Malaysia bagi menghadapi tiga kejohanan besar tahun ini iaitu Sukan Para Komanwel di Edinburgh, Scotland; Sukan Para Asean di Hanoi, Vietnam; dan Sukan Para Asia di Guangzhou, China.

Beliau berkata dengan tugasnya sebagai jurulatih atlet renang para, beliau perlu mengatur jadual sebaiknya agar pada masa yang sama dapat mengikuti pengajian di UPM.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang memberi peluang dan pelepasan masa untuknya melanjutkan pengajian.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada Coach Eric yang mengesan bakatnya dalam sukan itu ketika berusia 12 tahun.

“Sekarang saya mahu menumpukan kepada bidang kejurulatihan yang merupakan pekerjaan pertama saya… jika ada peluang, saya berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang sains sukan,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 24/03/2022 | Kemaskini: 25/04/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMBUA5:20:24