Jentera Pertanian PPP Bantu Tingkat Produktiviti Pertanian UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Jentera pertanian PPP bantu tingkat produktiviti pertanian UPM

Jentera pertanian PPP bantu tingkat produktiviti pertanian UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari dan Sharifah Hannah Adibah Wan Serail

SERDANG, 22 Sept – Jentera pertanian menjalankan fungsinya bagi menggantikan kerahan tenaga manusia dan haiwan khasnya dalam aktiviti pembajakan, penuaian, penyemburan racun serta penanaman.

Menurut Ketua Seksyen Perkhidmatan, Latihan dan Mekanisasi Ladang, Bahagian Kejuruteraan Ladang (BKL), Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Rohani Asari berkata penggunaan jentera pertanian membantu universiti ini dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil yang baik dalam sektor pertanian amnya.

“BKL PPP menyediakan kemudahan perkhidmatan alatan perladangan, kenderaan dan jentera pertanian kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UPM. Sebanyak 65 jentera pertanian terdiri daripada traktor besar, sederhana dan kecil yang disediakan untuk membantu kegiatan pertanian, perladangan, penternakan serta pengajaran dan pembelajaran di UPM.

“Sementara itu, hampir 200 alatan perladangan yang terdapat di sini. Kebiasaannya, digunakan untuk aktiviti pengajaran selain khidmat pengangkutan  serta program pertanian bersama komuniti.

“Setiap jentera mempunyai pelbagai fungsi masing-masing yang mampu memudahkan aktiviti kerja golongan petani serta peladang dan semestinya sangat menjimatkan masa untuk penyediaan tanah, membajak, meracun, kawalan rumpai serta penuaian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera, Seksyen Pembangunan, Penyelenggaraan dan Baikpulih, Azril Abbas berkata, pihaknya turut melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berkala pada jentera dan penyelenggaraan baik pulih bagi setiap kerosakan yang terjadi pada kenderaan.

“Kita perlu memastikan semua jentera ini boleh bergerak dan tidak tersadai begitu sahaja. Oleh itu, rata-rata pemandu di sini perlu mempunyai ilmu untuk mengesan kerosakan demi keselamatan masing-masing,” katanya.

Tarikh Input: 26/09/2023 | Kemaskini: 29/09/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
SWMCXAZ:23:02