Ceramah Pasca Siswazah FEM – Strategi Untuk Penerbitan Dalam Jurnal Berimpak Tinggi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Ceramah Pasca siswazah FEM – Strategi untuk penerbitan dalam Jurnal Berimpak Tinggi

Ceramah Pasca siswazah FEM – Strategi untuk penerbitan dalam Jurnal Berimpak Tinggi

Oleh: Dr. Cheng Kai Wah

SERDANG, 20 Jan – Seramai 360 pelajar Falkulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai ceramah pasca siswazah FEM bertajuk ‘Strategi Bagi Penerbitan Dalam Jurnal Berimpak Tinggi (Strategies for Publishing in High Impact Journals).

Ia adalah webinar ketiga dianjurkan Persatuan Pelajar-pelajar Pasca siswazah Ekologi Manusia (HEPSA) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat), FEM, UPM, yang dikendalikan secara ‘Zoom Meeting Communications’ dan ‘Facebook Live’.

Webinar selama tiga jam itu bertujuan menjelaskan kepentingan untuk penyelidik menerbitkan jurnal berimpak tinggi, mengetahui kaedah menulis jurnal berimpak tinggi, mengetahui garis panduan untuk memilih penerbit jurnal berimpak tinggi, untuk mengenalpasti kesalahan yang lazim dilakukan penulis, dan untuk memahami harapan penilai berkaitan penulisan jurnal berimpak tinggi.

Moderator ceramah ialah Pembantu Pengajar FEM, Dr. Cheng Kai Wah, manakala Pegawai Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM, Dr. Hayrol Azril Mohamed Shaffril ialah ahli panel.

Dr. Hayrol menasihati pelajar pasca siswazah untuk tidak takut jika melakukan kesalahan ketika menulis artikel.

“Anda perlu tahu bahawa tidak ada yang dikatakan sebagai artikel sempurna. Kita perlu mengelak daripada sindrom sempurna kerana ia akan memanjangkan proses dan tempoh untuk menghantar artikel.

“Sentiasa kekal positif dan belajar daripada kesilapan. Anda boleh mendapatkan bantuan profesional sekiranya perlu,” katanya.

Dr. Hayrol juga berkata pelajar pasca siswazah perlu tahu dan memenuhi keperluan untuk bergraduasi, manakala pensyarah pula perlu menyemak semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya mereka dapat memberi artikel mereka itu kepada penerbit yang betul.

“Platform penerbitan Citation Indexed Journal (CIJ) adalah termasuk Web of Science (WoS), Scopus, Excellence in Research for Australia (ERA), dan Malaysian Citation Index (MyCite).

“Setiap universiti mempunyai keperluan yang berbeza untuk graduasi pelajar. Justeru, anda perlu tahu dan memenuhi keperluan untuk bergraduasi dengan Sekolah Pengajian Siswazah (SGS), UPM,” katanya.

Sementara itu, Dr. Cheng berkata rakaman video webinar itu boleh diperolehi oleh semua pelajar pasca siswazah melalui akaun media sosial HEPSA. Mereka digalakkan untuk melanggan dan mengikuti HEPSA di Facebook (@FEM.HEPSA), Telegram (t.me/FEMHEPSA), dan Instagram (@fem_hepsa) untuk mengetahui perkembangan terkini pengumuman dan pengajian pasca siswazah FEM. - UPM

Tarikh Input: 21/02/2022 | Kemaskini: 21/02/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
WXFSMAF~