Anak Yatim Cekal Ingin Ubah Nasib Keluarga Melalui Pendidikan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Anak yatim cekal ingin ubah nasib keluarga melalui pendidikan

Anak yatim cekal ingin ubah nasib keluarga melalui pendidikan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

 

 

SERDANG, 30 Nov – Diasuh dan dibelai bagai minyak yang penuh oleh ibu saudara dan arwah nenek sejak berusia empat tahun setelah ibu bapanya berpisah membuatkan Nurul Syazwani Muhamed Zabidi, 24, menanam azam yang tinggi ingin mengubah nasib keluarga melalui pendidikan sejak hari pertama menjejakkan kaki di Univeristi Putra Malaysia (UPM).

 

Graduan Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE UPM) ini berkata beliau dibesarkan hasil pendapatan ibu saudaranya yang bekerja sebagai penoreh getah apabila ayahnya dijemput ilahi ketika usianya mencecah 11 tahun.

 

“Saya tidak datang dari keluarga yang senang dan ibu saudara saya merupakan tempat saya berkongsi kasih sepenuhnya setelah nenek saya meninggal pada 2017.

 

 

“Pengorbanan fizikalnya, kewangan dan mental membesarkan saya hasil pendapatan cukup makan sebagai penoreh getah membuatkan saya tekad mengubah nasib keluarga dan membalas jasanya.

 

“Saya amat bersyukur apabila niat untuk tidak membebankannya termakbul apabila saya berjaya ke menara gading hasil tajaan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB),” katanya.

 

Anak kedua daripada tiga beradik ini tidak hanya mementingkan akademik semata-mata sepanjang empat tahun berada di UPM kerana beliau turut mengambil pengalaman menambah kemahiran insaniah melalui penglibatan kokurikulum.

 

 

Beliau bergiat dalam Persatuan Mahasiswa Darul Makmur (PERMADA) pada tahun pertama dan menceburkan diri dalam kepimpinan melalui Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor (KC) ketika tahun kedua termasuklah Majlis Perwakilan Pelajar UPM pada tahun ketiga.

 

“Disebalik kesibukan di dalam bidang kokurikulum, saya juga membuat kerja sambilan di Farm Fresh UPM setiap hujung minggu sekiranya mempunyai masa lapang,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, gadis jati Raub ini berjaya meraih hadiah utama universiti sempena Majlis Konvokesyen UPM kali ke-47 iaitu Anugerah Endowmen Sultan Idris Shah selain meluahkan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

“Syukur atas penganugerahan ini dan inilah hadiah terindah buat arwah nenek serta ibu saudara saya. Lebih indah lagi sekiranya nenek ada di sini untuk meraikan kegembiraan ini,” luahnya sebak. -UPM

Tarikh Input: 30/11/2023 | Kemaskini: 30/11/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
WXCZNAy:13:55